Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

Proses Sulh Gagal Awie & Isteri Gagal Kerana Rozana Misbun Tidak Hadir

Proses ‘Sulh’ atau perbincangan mengenai hak jagaan kekal tiga orang anak hasil perkongsian hidup antara penyanyi rock terkenal Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman dengan isterinya, Rozana Misbun, gagal apabila wanita itu tidak hadir di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur hari ini.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar kegagalan isterinya itu hadir ke mahkamah dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi pesanan faksimili kepada peguamnya, Mohd Hafizal Parcho pada Selasa lalu.
Peguam Mohd Hafizal Parcho yang mewakili Awie ketika ditemui berkata, proses berkenaan hanya dihadiri anak guamnya di hadapan pegawai bertugas iaitu Surayah Ramlee, di Pejabat Bahagian Sulh, Mahkamah Syariah di sini.
“Sepatutnya hari ini perbincangan antara pihak anak guam saya dan Rozana mengenai siapa akan menjaga anak-anak itu tetapi disebabkan Rozana gagal hadir, maka proses ini gagal dan mahkamah menetapkan kes diteruskan dengan sebutan semula.
“Pihak kami ada menerima faks daripada Rozana semalam memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir. Bagaimanapun dia tidak menyatakan sebabnya,” kata peguam itu.
Mohd Hafizal berkata, mahkamah menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan semula kes itu.
Proses ‘Sulh’ adalah satu daripada alternatif yang efektif kepada mana-mana pasangan selain kaedah perbicaraan dan timbang tara untuk mendapatkan penyelesaian rumahtangga.
Pada 21 Julai lalu, Awie, 46, berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anaknya dan perintah injunksi supaya isterinya itu tidak mendekatinya dan ketiga-tiga anak itu dengan apa jua cara.
awie rozanaAwie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie.
Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.Sehubungan itu mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Rozana juga telah membuat tiga laporan polis di Balai Polis Daerah Brickfields berhubung kejadian yang berlaku keatasnya termasuklah ancaman halangan untuk berjumpa tiga anak kandungnya.

0 Response to "Proses Sulh Gagal Awie & Isteri Gagal Kerana Rozana Misbun Tidak Hadir"

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.